PUTRAJAYA: Syarikat yang mengendalikan stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) di Johor yang terbakar pada 31 Dis lepas didapati beroperasi tanpa lesen daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), demikian menurut suruhanjaya itu.

ST memaklumkan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 memperuntukkan bahawa aktiviti pembekalan tenaga daripada mana-mana pepasangan hendaklah dilaksanakan dengan lesen yang sah daripada ST.

Dalam kejadian pada 31 Dis lepas, sebuah kereta jenis Mercedes Benz elektrik (EQB) hangus akibat terbakar ketika sedang dicas di sebuah bangunan pameran kenderaan di Tampoi.

Insiden itu turut menyebabkan lima peratus daripada 256 meter persegi premis dan 20 peratus daripada EVCS yang terletak di premis berkenaan terbakar.

"Pihak bertanggungjawab dan syarikat berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan," menurut ST dalam kenyataan hari ini, serta menambah siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

ST memaklumkan kejadian itu tidak melibatkan kecederaan terhadap individu atau anggota bomba.

Pada 16 Dis 2022, ST dilaporkan menyarankan pengendali titik pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar segera mendapatkan lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan EVCS di negara ini termasuk yang telah beroperasi, selewat-selewatnya pada 31 Mac 2023.

-- BERNAMA